SUNGAI PETANI: Setiap anggota Umno tidak kira golongan muda ataupun veteran perlu menghayati Fasal 3 Perlembagaan Umno untuk mendalami asas perjuangan parti.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, penghayatan Fasal itu penting dan harus menjadi amalan supaya perjuangan Umno menjadi sebati dengan fizikal dan jiwa setiap anggota.
"Jika ini tidak dihayati maka perjuangan hanya sekadar jadi sebutan di bibir sahaja, oleh itu pengembalian perjuangan Umno mesti dijalankan berterusan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Juara Rakyat 'Bicara Tokoh' di sini hari ini.
Fasal 3 Perlembagaan Umno menyenarai tanggungjawab dan matlamat perjuangan Umno sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendokong cita-cita kebangsaan Melayu demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.
Rais yang dipertanggungjawabkan sebagai 'bapa angkat' kepada Umno bahagian Sungai Petani, Baling, Tawau, dan Bukit Bintang, berada di sini sempena lawatan kerjanya ke kawasan Umno Bahagian Sungai Petani.
"Rasanya tidak afdal jika Umno melaung dengan menyatakan parti ini mempunyai 3.5 juta anggota, tetapi Fasal 3 dalam perlembagaan Umno kita tidak tahu," katanya.
Beliau berkata oleh itu kursus dan seminar yang memberi penjelasan mengenai Fasal 3 perlembagaan Umno perlu sentiasa diadakan buat setiap anggota, sama ada golongan muda atau veteran.
Rais berkata dalam perjuangan asas Umno suatu ketika dahulu, Fasal 3 itu dihafal dan dijadikan kursus serta diamalkan setiap anggota.
Sementara itu dalam ucapannya Rais turut menjelaskan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak terjejas dengan perlaksanaan konsep 1Malaysia. BERNAMA
No comments:
Post a Comment