Pages

Friday, March 5, 2010

Pemilihan MCA Hanya Untuk Pemimpin Pusat Parti


KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Ketegangan berlaku dalam MCA antara parti itu dengan sayap Pemuda dan Wanitanya yang membatalkan mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka yang dijadual diadakan Sabtu.

Perkembangan baru juga timbul sama ada kedua-dua sayap itu sepatutnya mengadakan pemilihan barunya apabila MCA menganjurkan pemilihan untuk memilih kepimpinan baru pada 28 Mac ini.

"Pada Sabtu, mana-mana perwakilan pusat yang datang untuk AGM Wanita adalah tidak sah. Kita juga menerima keputusan mesyuarat exco pagi ini iaitu pemilihan semula untuk MCA pusat sahaja dan tidak kena mengena dengan Wanita MCA," kata Ketua Wanitanya Datin Paduka Chew Mei Fun, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada Jumaat 21 Anggota Jawatankuasa Pusat (CC) yang meletakkan jawatan menetapkan 28 Mac untuk mengadakan pemilihan baru dan juga memutus untuk meneruskan AGM parti induknya Ahad ini.

Setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng berkata adalah salah bagi sayap Pemuda dan Wanita menangguhkan AGMnya kerana ini bertentangan dengan undang-undang kecil mereka.

Beliau juga berkata AGM Pemuda dan Wanita boleh diteruskan dan akan dianggap sah jika mereka mempunyai kehadiran 200 perwakilan pusat.

Wong juga dipilih sebulat suara oleh CC hari ini bagi memastikan pemilihan baru itu diadakan dengan lancar.

Ditanya sama ada sayap Pemuda dan Wanita akan mengadakan pemilihan baru juga, beliau berkata kedua-dua sayap itu dinasihatkan untuk berbuat demikian.

"Ia adalah bersikap berhati-hati dalam politik dan undang-undang dan adalah di landasan yang betul untuk Pemuda dan Wanita mengadakan pemilihan baru," kata beliau.

Bagaimanapaun setiausaha agung Pergerakan Wanita Senator Heng Seai Kie yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, berkata beliau akan hadir Sabtu untuk AGM itu dan ia diadakan mengikut peraturan.

Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong pada awal hari ini, ketika mengumumkan penangguhan AGM sayap Pemuda, meminta perwakilan yang belum lagi tiba di ibu negara untuk menukar rancangannya itu.

Tempat penginapan akan disediakan bagi mereka yang telah tiba di sini, kata beliau.

Tetapi kedua-dua sayap itu tidak membatalkan jamuan makan malam mereka yang diadakan di Wisma MCA di sini Jumaat dengan jumlah kehadiran yang baik.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment